Friday, December 18, 2009

Gaya Pembelajaran Pelajar PISMP Institut Perguruan Kent Tuaran

Oleh

Saimin Ginsari
Jabatan Kajian Sosial
Institut Perguruan kent, Tuaran


ABSTRAK


Kajian ini adalah berbentuk tinjauan dengan tujuan untuk mengenal pasti gaya pembelajaran guru pelatih Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan(PISMP) di Institut Perguruan Kent, Tuaran Sabah. Selain mengenal pasti gaya pembelajaran guru pelatih secara keseluruhan, kajian juga telah mengenal pasti gaya pembelajaran guru pelatih mengikut jantina. Pengkaji telah menggunakan keseluruhan populasi seramai 38 orang sebagai sampel kajian. Alat ukur kajian melibatkan soal selidik yang dibina berdasarkan Index of Learning Style daripada model gaya pembelajaran Felder dan Silverman (1988). Analisis data menggunakan statistik deskriptif melibatkan frekuensi, peratus, min dan sisihan piawai untuk mengenal pasti gaya pembelajaran guru pelatih secara keseluruhan dan mengikut jantina. Hasil kajian mendapati terdapat pelbagai jenis gaya pembelajaran guru pelatih termasuklah gaya pembelajaran reflektif, sensori, visual, sequential dan global. Responden perempuan pula mempunyai gaya pembelajaran reflektif, sensori, sequential, visual dan global sementara lelaki hanya mempunyai gaya pembelajaran reflektif, sensori dan sequential sahaja.



Latar belakang kajian

Pada asasnya, terdapat tiga jenis gaya pembelajaran pelajar yang biasanya senang dikenal pasti di kalangan kanak-kanak di bawah umur 10 tahun. Tiga jenis gaya pembelajaran tersebut adalah berdasarkan kepada teori ‘multiple intelligences Gardner’ iaitu gaya pembelajaran visual, gaya pembelajaran auditori dan gaya pembelajaran kinestetik (Abdul Aziz, 1999)..
Model-model gaya pembelajaran dan dapatan kajian tentang gaya pembelajaran mendapati terdapat pelbagai jenis gaya pembelajaran. Perbezaan gaya pembelajaran ini umumnya dikaitkan dengan faktor persekitaran, emosi, sosiologi, fisiologi dan psikologi seseorang (Dunn dan Dunn,1978). Elemen-elemen inilah yang membentuk gaya pembelajaran seseorang individu.

Pernyataan masalah

Kajian ini bertujuan untuk mengenal pasti gaya pembelajaran yang diamalkan oleh guru-guru pelatih Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) – Kementerian Pelajaran Malaysia(KPM). Keperluan untuk memahami dan mengenal pasti gaya pembelajaran guru pelatih di Institut Pendidikan Guru penting supaya sesebuah institut dapat melaksanakan strategi pelaksanaan kurikulum sepertimana yang terkandung dalam Kerangka Konseptual Kurikulum dengan berkesan. Dalam masa yang sama, kajian juga tentunya dapat dijadikan panduan untuk merangka struktur pelaksanaan kurikulum PISMP setelah mengambil kira aspek-aspek tertentu termasuk gaya pembelajaran guru pelatih PISMP.

Persoalan Kajian

1. Apakah jenis gaya pembelajaran yang diamalkan dalam kalangan guru pelatih PISMP-KPM?
2. Adakah wujud perbezaan gaya pembelajaran dalam kalangan guru pelatih PISMP-KPM?
3. Apakah jenis gaya pembelajaran guru pelatih PISMP-KPM mengikut jantina?


Objektif Kajian

Tujuan utama kajian adalah untuk mengenal pasti gaya pembelajaran guru pelatih PISMP-KPM di Institut Perguruan Kent, Tuaran. Dalam masa yang sama, kajian juga akan mengenal pasti adakah wujud perbezaan gaya pembelajaran guru pelatih PISMP tersebut. Selain itu, kajian juga akan mengenalpasti jenis gaya pembelajaran guru pelatih mengiktut jantina.

Batasan Kajian

Kajian akan hanya dijalankan di Institut Perguruan Kent, Tuaran. Kumpulan guru pelatih yang dikaji adalah guru pelatih PISMP-KPM Semester 5, unit PSV dan Bahasa Arab.




Justifikasi Kajian

Untuk jangka panjang, dapatan kajian tentunya berguna khususnya kepada Institusi Pendidikan Guru untuk menilai kaitan gaya pembelajaran dengan pelaksanaan struktur kurikulum PISMP-KPM. Dapatan kajian juga tentunya berguna kepada pensyarah-pensyarah Institut Pendidikan Guru untuk merangka dan merancang pengajaran mereka sesuai dengan gaya pembelajaran yang diamalkan oleh guru-guru pelatih PISMP-KPM.

TINJAUAN LITERATUR

Model Gaya Pembelajaran

Terdapat pelbagai model gaya pembelajaran. Antaranya adalah Model Gaya Pembelajaran Kolb, Honey dan Mumford(1986), Model Felder dan Silverman(1988), Model Myers-Briggs Type Indicator(MBTI), Hermann Brain Dominance Intrument(HBDI), Model Gregorc, Model Gaya pembelajaran Pask, Gaya pembelajaran Guilford(1981), Model Gaya pembelajaran Edward De Bono, Model Dunn dan Dunn dan Gaya Pembelajaran Paragon. Instrumen gaya pembelajaran pula antaranya adalah Gregorc Style Delineator (Model Gregorc), Index of Learning Style (Richard M. Felder), Kolb’s Learning Style Inventory (model Kolb) dan Learning Style Questionaire (Honey dan Mumford).

Kajian-kajian Lepas

Kajian Nazamud-din Alias(2005) yang membuat kajian ke atas guru pelatih Kursus Pengajian Lepasan Ijazah, Institut Perguruan Batu Lintang mendapati majoriti gaya pembelajaran pelatih KPLI adalah dalam dimensi “ekstrovet”, “sensate”,” thinker” dan “judger”. Khalid(1999) pula mendapati bahawa di institusi pengajian tinggi terdapat tiga jenis gaya pembelajaran yang diamalkan. Iaitu secara bersendirian, gaya pembelajaran berkumpulan dan gaya pembelajaran tutorial. Atan Long(1988) pula menjelaskan bahawa keberkesanan gaya pembelajaran bergantung kepada dua bahagian pembelajaran, iaitu pembelajaran memproses maklumat dan pembelajaran menggunakan pengalaman.
Dunn(1997) dalam kajiannya terhadap gaya pembelajaran telah merumuskan bahawa budaya memang memberi kesan terhadap gaya pembelajaran, tetapi satu-satu gaya pembelajaran tidak terbatas kepada satu kumpulan budaya sesebuah budaya masyarakat. Busato, V. (2000), Shaw, G. dan Marlow, N. (1999) yang membuat kajian terhadap kebolehan inteletual, gaya pembelajaran, personaliti, motivasi pencapaian dan kejayaan akademik pelajar-pelajar psikologi di institusi pendidikan tinggi mendapati bahawa tidak ada hubungan positif antara kejayaan akademik dengan gaya pembelajaran. Heide, H.,(2002) dan Quellete, R.(2000) juga terlibat dalam kajian terhadap jantina, etnik, kemampuan belajar dan gaya belajar.

METODOLOGI KAJIAN

Reka bentuk kajian

Reka bentuk kajian adalah penyelidikan tinjauan. Kaedah ini sesuai kerana objektif kajian hanya bertujuan untuk mengenal pasti jenis-jenis gaya pembelajaran guru pelatih PISMP-KPM mengikut jantina.

Populasi dan persampelan
Gaya pembelajaran yang dikaji adalah di kalangan guru pelatih PISMP-KPM Semester 5. Semua guru pelatih PISMP-IPGM Bahasa Arab dan PSV di IP Kent, Tuaran adalah seramai 38 orang adalah populasi kajian.




Alat Kajian
Alat kajian yang digunakan adalah borang soal selidik. Dalam setiap borang soal selidik, terdapat dua bahagian, iaitu bahagian A dan B. Bahagian-bahagian tersebut ditunjukkan dalam jadual 1 berikut;

Jadual 1 Item Soal Selidik dan Perincian Maklumat

Item Perincian Maklumat
Bahagian A Jantina
Bahagian B: 1- 40 Jenis-jenis Gaya Pembelajaran Responden

Dalam bahagian B, item-item adalah berbentuk pernyataan. Item-item dibina berdasarkan kepada Index of Learning Syles dalam model gaya pembelajaran Felder dan Silverman (1988). Gaya pembelajaran model Felder dan Siverman adalah aktif atau reflektif, sensori atau intuisi, sequential atau global dan visual atau verbal.
Bahagian B terdiri daripada 40 item iaitu setiap satu jenis gaya pembelajaran mempunyai 5 item. Pernyataan dalam bahagian B yang disusun mengikut jenis-jenis gaya pembelajaran Felder dan Silverman seperti yang ditunjukkan dalam jadual 2 berikut.

Jadual 2 Pembahagian Item Mengikut Jenis Gaya Pembelajaran Felder dan Silverman.

Item Jenis Gaya Pembelajaran
1, 2, 3, 4, 5 Aktif
6, 7, 8, 9, 10 Reflektif
11, 12, 13,14,15 Sensori
16, 17, 18, 19, 20 Intuisi
21, 22, 23, 24, 25 Visual
26, 27, 28, 29, 30 Verbal
31, 32, 33, 34, 35 Sequential
36, 37, 38, 39, 40 Global

Skala Binari digunakan untuk jawaban kepada setiap pernyataan. Pilihan jawaban adalah kepada skala “ya” “kadang-kadang” dan “tidak” sahaja. Ini untuk memudahkan sampel memberikan jawaban yang jelas serta mudah mengelaskan bentuk gaya pembelajarannya kepada jenis-jenis gaya pembelajaran mengikut model Felder dan Silverman (1988). Skor untuk skala tersebut adalah seperti berikut;

Jadual 3 :Jadual Skor

Skala Skor
Ya 1
Kadang-kadang 2
Tidak 3

Kesahan dan kebolehpercayaan
Index of Learning Styles merupakan instrumen yang digunakan oleh Felder dan Silverman untuk mengenal pasti gaya pembelajaran seseorang pelajar. Walau bagaimana, kandungan dan bentuk borang soal selidik ini diubah suai mengikut konteks budaya negara ini.

Prosedur menganalisis data
Statistik yang digunakan untuk menganalisis data yang diperolehi adalah statistik deskriftif dan inferens berbantukan perisian SPSS versi 14.0. Analisis deskriftif digunakan untuk menerangkan jenis-jenis gaya pembelajaran yang diamalkan oleh guru pelatih PISMP di Institut Peguruan Kent.
Jumlah keseluruhan min dalam lima item (contohnya item 1, 2, 3, 4 dan 5) akan digunakan untuk mengelaskan jenis gaya pembelajaran responden mengikut skala min berikut.


Jadual 3 Skala Min gaya pembelajaran responden

Skala Min Deskripsi
1.00 – 1.66 Mempunyai gaya pembelajaran (sama ada aktif, reflektif, sensori, intuisi, visual, verbal, sequential dan global)
1.67 – 2.33
Cenderung kepada gaya pembelajaran tertentu
2.34 – 3.00 Tidak mempunyai gaya pembelajaran (sama ada aktif, reflektif, sensori, intuisi, visual, verbal, sequential dan global)



DAPATAN KAJIAN

Taburan Responden Mengikut Jantina
Jadual 4 adalah taburan responden keseluruhan mengikut jantina. Jumlah responden antara lelaki dan perempuan adalah sama. Jumlah keseluruhan responden adalah seramai 38 orang.

Jadual 4 Taburan Frekuensi dan Peratus Responden Mengikut Jantina (n=38)

Jantina Frekuensi Peratus
Lelaki 19 50%
Perempuan 19 50%
Jumlah 38 100%


Gaya Pembelajaran Responden Secara Keseluruhan
Jadual 5 menunjukkan Min dan sisihan piawai gaya pembelajaran responden secara keseluruhan. Min gaya pembelajaran reflektif adalah min yang paling hampir kepada skor 1. Ini menunjukkan gaya pembelajaran reflektif sangat jelas diamalkan oleh responden secara keseluruhan sementara gaya pembelajaran intuisi adalah min gaya pembelajaran yang paling jauh dari skor 1. Ini menunjukkan gaya pembelajaran intuisi tidak diamalkan oleh sebahagian besar responden.




Jadual 5 Gaya Pembelajaran Responden secara keseluruhan Mengikut Min dan Sisihan Piawai(n=38)

Gaya Pembelajaran Min Sisihan Piawai
Gaya Pembelajaran Aktif (Item 1 – 5) 1.92 .410093
Gaya pembelajaran Reflektif(Item 6 -10) 1.24 .29289
Gaya Pembelajaran Sensori (Item 11-15) 1.50 .39614
Gaya Pembelajaran Intuisi (Item 16 – 20) 2.10 .40221
Gaya Pembelajaran Visual (21 -25) 1.62 .36514
Gaya Pembelajaran Verbal (26-30) 1.92 .47168
Gaya Pembelajaran sequential (31-35) 1.32 .33780
Gaya Pembelajaran global(Item 36 – 40) 1.63 .36195

Secara keseluruhan, responden memiliki gaya pembelajaran Reflektif(1.24), Sequential(1.32), Sensori(1.50), Visual(1.62) dan global(1.63). Responden secara keseluruhan juga berkecenderungan untuk memiliki gaya pembelajaran Aktif(1.92) dan Verbal(1.92).

Gaya Pembelajaran Responden Lelaki
Jadual 6 menunjukkan min dan sisihan piawai responden lelaki. Min gaya pembelajaran reflektif menunjukkan min yang paling hampir kepada skor 1. Min gaya pembelajaran verbal pula menunjukkan min yang paling jauh daripada skor 1. Ini menunjukkan gaya pembelajaran reflektif sangat jelas ditunjukkan oleh responden lelaki. Gaya pembelajaran verbal pula tidak jelas ditunjukkan oleh sebahagian besar responden.

Jadual 6 Gaya Pembelajaran Responden lelaki secara keseluruhan Mengikut Min dan Sisihan Piawai(N=19)

Gaya Pembelajaran Min Sisihan Piawai
Gaya Pembelajaran Aktif (Item 1 – 5) 1.96 .41769
Gaya pembelajaran Reflektif(Item 6 -10) 1.26 .30958
Gaya Pembelajaran Sensori (Item 11-15) 1.48 .42271
Gaya Pembelajaran Intuisi (Item 16 – 20) 2.06 .46490
Gaya Pembelajaran Visual (Item 21 -25) 1.67 .40373
Gaya Pembelajaran Verbal (Item 26-30) 2.09 .46969
Gaya Pembelajaran sequential (Item 31-35) 1.40 .36946
Gaya Pembelajaran global(Item 36 – 40) 1.69 .37265

Berdasarkan Jadual 6, dapatan menunjukkan responden lelaki memiliki gaya pembelajaran Reflektif(1.26), Sensori(1.48) dan Sequential(1.40). Responden lelaki juga berkecenderungan untuk mempunyai gaya pembelajaran visual(1.67), global(1.69) dan Aktif(1.96).

Gaya Pembelajaran Pelajar Mengikut Responden Perempuan
Jadual 7 menunjukkan min dan sisihan piawai gaya pembelajaran responden guru pelatih perempuan. Min gaya pembelajaran gaya pembelajaran reflektif yang paling hamper kepada skala skor 1 sementara gaya pembelajaran intuisi adalah min gaya pembelajaran yang paling jauh dari skor 1. Ini menunjukkan gaya pembelajaran reflektif sangat jelas diamalkan oleh sebahagian besar responden perempuan.

Jadual 7 Gaya Pembelajaran Responden Perempuan Mengikut Frekuensi dan Peratus(n=19)

Gaya Pembelajaran Min Sisihan Piawai
Gaya Pembelajaran Aktif (Item 1 – 5) 1.89 .40679
Gaya pembelajaran Reflektif(Item 6 -10) 1.23 .28278
Gaya Pembelajaran Sensori (Item 11-15) 1.52 .37962
Gaya Pembelajaran Intuisi (Item 16 – 20) 2.13 .35531
Gaya Pembelajaran Visual (Item 21 -25) 1.59 .33633
Gaya Pembelajaran Verbal (Item 26-30) 1.81 .44176
Gaya Pembelajaran sequential (Item 31-35) 1.27 .30701
Gaya Pembelajaran global(Item 36 – 40) 1.59 .35129

Berdasarkan jadual 7, dapatan menunjukkan responden perempuan memiliki gaya pembelajaran Reflektif(1.23), Sequential(1.27), Sensori(1.52), global(1.59) dan visual(1.59). Responden perempuan juga berkecenderungan memiliki gaya pengajaran verbal(1.81) dan aktif(1.89).

PERBINCANGAN , RUMUSAN DAN CADANGAN

Perbincangan
Dapatan kajian menunjukkan terdapat beberapa jenis gaya pembelajaran di kalangan guru pelatih PISMP-KPM di Institut Perguruan Kent, Tuaran. Secara keseluruhan, guru pelatih PISMP Institusi Perguruan Kent mengamalkan pelbagai gaya pembelajaran. Antara gaya pembelajaran tersebut adalah Sequential, Reflektif, Sensori dan visual. Kajian juga menunjukkan terdapat perbezaan gaya pembelajaran mengikut jantina kerana kajian menunjukkan responden lelaki hanya memiliki gaya pembelajaran reflektif, sensori dan sequential sementara guru pelatih PISMP perempuan memiliki gaya pembelajaran Reflektif, Sequential, Sensori, global dan visual.
Kajian ini juga menunjukkan guru pelatih PISMP di IP Kent Tuaran sebahagian besarnya memiliki gaya pembelajaran Reflektif. Felder, R.M dan Brent, R., (2005) merujuk gaya pembelajaran reflektif kepada soalan ‘ How does the student prefer to process information?Ini menjelaskan guru pelatih PISMP memproses maklumat dengan cara memikirkan semua perkara secara bersendirian. Pelajar ini suka juga berfikir dahulu sebelum bertindak (Felder,R.M dan Solomon, 2000).
Selain itu, guru pelatih secara keseluruhan juga memahami satu-satu situasi melalui langkah demi langkah yang logik dan sistematik(Gaya pembelajaran sequential). Pelajar sequential adalah pelajar yang memahami dunia dan situasi melalui langkah demi langkah yang logik dan sistematik (Felder, R.M dan Brent, R., 2005). Guru pelatih suka memproses maklumat dengan konkrit, praktikal dan berorientasikan prosedur(Gaya pembelajaran sensori). Dapatan juga menunjukkan terdapat guru pelatih yang suka penerangan pensyarah yang menyertakan bahan-bahan bergambar(Gaya Pembelajaran Visual). Sebilangan kecil guru pelatih pula suka mendapatkan gambaran umum sebelum mendapatkan maklumat yang lebih terperinci dalam pembelajaran mereka.(Gaya pembelajaran global).

Jenis-jenis Gaya Pembelajaran Guru pelatih Mengikut Jantina

Kajian mendapati guru pelatih Perempuan memiliki gaya pembelajaran Reflektif, Sequential, Sensori, global dan visual sementara guru pelatih lelaki memiliki gaya pembelajaran Reflektif, Sensori dan Sequential. Secara keseluruhan, guru pelatih perempuan mengamalkan gaya pembelajaran yang sama setiap kali belajar atau dalam usaha memperolehi maklumat. Sebagai contohnya, guru pelatih perempuan gemar menerima maklumat yang disertai bahan-bahan bergambar sementara guru pelatih lelaki lebih bersikap terbuka dengan sebahagian besarnya kadang-kadang boleh menerima maklumat yang disertai dengan bahan-bahan bergambar. Selain itu, guru pelatih perempuan juga biasanya menerima maklumat umum sebelum memperincikannya sebaliknya guru pelatih lelaki kurang mengaplikasikan gaya belajar seperti ini. Ini kerana guru pelatih lelaki mencuba pelbagai gaya pembelajaran dan tidak menetapkan satu-satu cara untuk belajar sepertimana guru pelatih wanita.
Nazamud-din(2005) menjelaskan tiada gaya pembelajaran yang buruk dan baik. Ini bermakna perkara yang lebih penting sebenarnya adalah bagaimana gaya pembelajaran tersebut menjadikan pelajar atau guru pelatih lebih mudah memperolehi, menafsir dan mengolah kembali maklumat yang diperolehi. Kejayaan bukannya bergantung kepada jenis gaya pembelajaran yang digunakan tetapi yang jelas bagaimana individu itu sendiri menggunakan gaya pembelajaran itu untuk mendapatkan maklumat. Walaubagaimanapun, jika gaya pembelajaran tersebut diadaptasikan dengan gaya pengajaran pensyarah, hasilnya lebih baik kerana guru pelatih lebih mudah memperolehi maklumat apabila gaya pengajaran pensyarah sesuai dengan gaya pembelajaran guru pelatih. Persoalan yang timbul kemudiannya adalah, bagaimana pensyarah boleh menyesuaikan gaya pengajarannya jika dalam sebuah kelas terdapat pelatih atau pelajar yang mempunyai pelbagai gaya pembelajaran?

Implikasi dan Cadangan

Hasil dapatan kajian boleh dimanfaatkan sepenuhnya oleh golongan pensyarah di Institut Pendidikan Guru bukan sahaja di Intitut Perguruan Kent, malah di Institut perguruan lain untuk merancang gaya pengajarannya bagi memenuhi kehendak gaya pembelajaran guru pelatih. Salah satu implikasi jangka panjang daripada dapatan kajian adalah kemungkinan-kemungkinan berlakunya peningkatan kualiti yang lebih baik di kalangan guru pelatih apabila pensyarah dapat memahami gaya pembelajaran guru pelatih tersebut. Untuk kajian akan datang, satu kajian tentang bagaimana pengadaptasian gaya pembelajaran guru pelatih dengan gaya pengajaran pensyarah perlu dilakukan untuk menentukan kaedah yang lebih baik untuk meneruskan kecemerlangan kurikulum guru pelatih.






















BIBLIOGRAFI
Abdul Aziz bin Hussien Sazally .1999. Teori ‘Multiple Intelligences’ (Pelbagai Kepintaran) Howard Gardner. Sungai Petani: Institut Tabdiran Awam.

Abdul Rahim M. Ali .2001. Ilmu Pendidikan untuk KPLI. Kuala Lumpur: Utusan Publication & Distributors.

Atan Long .1988. Psikologi Pendidikan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Pustaka

Brown,R.D, Hallet, M.E, & Stoltz, R.R .1992. ”Student Learning Styles in Landscape Architecture Education”. Journal of Learning and Teaching Landscape architecture.University of Guelph.13(4):429-438

Busato,V.V, Rins, F.J., Elshout,J.J & Hamaker,C., 2000. ”Intellectual Ability, Learning Style, Personality, Achievement Motivation and Academic Success of Psychology Students in Higher Education”. Journal of Personality and Individual Differences. 29(6):1057-1068

Charlesworth,Z. .1999. The Influence on Learning Styles. Glion Institute of Higher Education.

Cross,N. .1985. ”Styles of Learning, Designing and Computing”. Journal of Design Studies.Faculty of Technology. 6 (3) : 157-162.

Dewan Parlimen. Rang Undang-undang Pendidikan(Pindaan) 2008, 19 Ogos 2008.

Dewan Parlimen, Rang Undang-undang Pendidikan(Pindaan) 2008, 25 Ogos 2008.

Dunn,R., Beaudry,J. & Klavas., A., .1989. “Survey of Research on Learning Styles.” Educational Leadership, 46(6) : 53-58.

Dunn, R .1997. ”The Goals and Track Record of Multicultural Education.” Education Leadership: 54(7) : 74-75

Dunn, R.S & Dunn, K.J .1978. Teaching Elementary Students Through Their Individual Learning Style: A Practical Approach. New Jersey: Prentice Hall

Entwistle, N. .1981. Styles of Learning and Teaching: An Integrated Outline of Educational Psychology For Students, Teachers and Lecturers. New York .

Edward de Bono .1990. Pelajaran Berfikir de Bono. Jakarta: Penerbitan Erlangga

Felder, R.M. & Spurlin, J.E .2005. “Applications, Realiability and Validaty of the Index of Learning Styles.” Journal of Engineering Education, 21(1) : 103-112

Felder,R.M & Brent,R. .2005. “Understanding Student Differences.” Journal of Engineering Education: 94(1)

Felder, R.M. .2002. ” Learning and Teaching Styles in Engineering Education.” Journal of Engineering Education. 78(7)

Felder,R.M, Felder, G.N & Dietz. .2002. “The Effects of Personality Type on Engineering Student Performance and Attitudes.” Journal of Engineering Education. 91(1)

Felder, R.M. .1996. ”Matters of Style.” ASEE Prism 6(4)

Furham, A. .1992. ”Personality and Learning Style. A Study of Three Intruments”.Journal of Personality and Individual Differences. University College London

Furham, A., Jackson, C.J & Miller,T .1999. “Personality, Learning Style and Work Performance. ”Journal of Personality and Individual differences. University College London. 27(6) : 1113-1122

Fox, J. & Bartholomac, S .1999. ”Student Learning Style and Educational Outcomes. Evidence From a Family Financial Management Course”. Journal of Financial Services Review. Ohio State of University. 8 (4):235-251

Gregorc, A.F .1979. Learning and Teaching Styles: Potent Forces Behind Them. Educational Leadership, Vol 36, 234-36

Hartman, V.F .1995. “Teaching and Learning Style Preferences: Transitions Through Technology.” VCCA Journal 9, no 2: 18-20

Healy, M & Jenkin, A. .2000. ”Kolb’s Experiental Learning Theory and Its Application in Geography in Higher Education.” Journal of Geography,99.

Heide, H. .2002. Comparative Analysis of the Learning Styles of German Versus Other Adolescents from Diverse Nations by Age, Gender and Academic Achievement Level. Dissertations Project: St John’s University, School of Education and Human Services.

Honey & Mumford .1986. The Manual of Learning Style, 2nd Eds. Maidenhead

Honigsfeld, A.M. .2001. A Comparative Analysis of the Learning Styles of Adolescents from Diverse Nations by Age, Gender, Academic Achievement Level and Nationality. Dissertations Project: St John’s University, School of Education and Human Services.

Jarvis, P. .1995. Adult and Continiung Education. Theory and Practice 2e. London : Routledge.

Khalid Johari .1999. ”Hubungan antara Gaya Pembelajaran di Kalangan Pelajar Institusi Pengajian Tinggi di Sabah dengan Jantina, Umur dan Latar belakang Pekerjaan”.Jurnal Kinabalu V:83-99.

Klavas,A. et.all .1994. ” Factors That Facilitated or Impeded Implementation of the Dunn and Dunn Learning Style Model.” Illinois School Research and Development Journal. 31(1)

Kolb, D.A .1984. Experiential Learning: Experience as the Source of Learning and Development Englewood Cliffs. NJ: Prentice Hall

Litzenger, Ellen, M & Osif, B. .1993. Accommodating Diverse Learning Style. Designing Instruction for Electronic Information Sourses. In What is Good Instruction Now? Library Instruction for the 90s.ed.Linda Shirato. Ann Arbor.MI. Pierian Press.

Lynch, T.G., Woelfl, N.N, Steele, D.J., & Etanssen, C.S,. .1998. ”Learning Styles Influences Student Examination Performances”.The American Journal of Surgery.176(1):62-66

Loo,R. .1997. Confirmation Factor Analysis of Kolb’s Learning Style Inventory. British Journal of Educational Psycology. 69

McCaulley, M.H (1990). The MBTI and Individual Pathways in Engineering Design. Engr. Education 80: 537-542

Moeljadi Pranata .1999. Menyoal Ketidakcocoktidakan Gaya Pembelajaran Desain (atas talian) http://Publit.Petra.ac.id/journals/design/ Dicetak 31 Julai 2008.

Mang, C.K .1999. Satu Kajian Tentang Pendekatan Pembelajaran Di kalangan Pelajar-pelajar Ekonomi di Universiti Sains Malaysia. Artikel Tidak Diterbitkan.

Myers, J. .1999. Your Learning Styles (Atas Talian) http://www. Inspiredleadership.com. Dicetak pada 31 Jun 2008.

Mayer, R.E dan Massa, L.J .2003. Three Facets of Visual and Verbal Learners: Cognitive Ability, Cognitive Style and Learning Preference: Journal of Education Psychology.Vol 95(4)

Nulty, D.D., & Barret, M.A. .1996. “Transitions in Students learning Styles. “ Studies In Higher Education 21(3)

Nazamud-din Bin Alias. 2005. Gaya Pembelajaran Guru Pelatih Kursus Pengajian Lepasan Ijazah Maktab Perguruan Batu Lintang.Jurnal Penyelidikan MPBL. Jilid 6.

Pembangunan Profesionalisme Keguruan, KPM. 2006. Buku Panduan Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan Dengan Kepujian Sesi 2007/2008. Institut Pendidikan Guru Malaysia, Bahagian Pendidikan Guru.
Pask, G. dan Scott, B. .1999. ”Learning Strategies and Individual Compentence.” Int F. Man-mach. Stnd vol 4 (31972)

Pask, G .1976. Styles and Strategies of Learning. British Journal of Learning Psychology 40: 128-149

Quellete, R. .2000. Learning Styles in Adult Education. University of Maryland

Riding, R & Rayner, S. 1999. Cognitive Styles and Learning Strategies. Understanding Style Differences in Learning and Behavior. London : David Fulton Publishers.

Riding, R & Sadler Smith, E .1992. Type of Instructional Material, Cognitive Style and Learning Performance. Educational Studies. Vol 18, No 3 : 323-329

Rusli Ahmad.1999. Gaya Pembelajaran dan Faktor-faktor yang Mempengaruhinya.Satu Kajian Kes. Kertas Kajian Fakulti Sains Kognitif dan Pembangunan Manusia: Universiti Malaysia Sarawak.

Smith, E.S .2001. “The Relationship Between Learning Style and Cognitive Style”. Journal of Personality and Individual differences . 30 (4) : 609-616

Shaw,G.& Nigel, M., .1999. ”The Role of Student Learning Style, Gender, Attitudes and Perceptions on Information and Communication Technology Assisted Learning”. Journal of Computers and Education. California College of Pediatric Medicine San Francisco. 33 (4) 223-234

Slavin, R.E. .2002. A model of Effective Instruction. Educational Research and Improvement (Atas talian) http://www. Successforall.net/ resource/ research/ modeleffect. htm

Shahabuddin Hashim dan Rohizani Yaakub. 2003. Psikologi Pembelajaran dan Personaliti. Pahang : Pts Publications & Distributors Sdn. Bhd.

Stice, J.E (1987).” Using Kolb’s Learning Cycle to improve Student Learning.” Journal of Engineering Education. 77(5)

Tennat, M .1997. Psychology and Adult Learning 2e, London : Routledge.

Mariam Bt Che Latt.et.al. 1998. Gaya Pembelajaran Guru Pelatih Pengajian Melayu Dalam Pembelajaran Tatabahasa Bahasa Melayu Fokus Ayat Pasif. Jurnal Pendidikan TIGANEF. Jilid 2.

Wan Zah Wan Ali .2000. Memahami Pembelajaran. Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd.





Read More sir/mrs....

Thursday, October 15, 2009

HASIL PEMBELAJARAN (LEARNING OUTCOMES) PROGRAM IJAZAH SARJANA MUDA (PISMP) PENDIDIKAN SENI VISUAL, IPGM

Kompetensi atau hasil pembelajaran PISMP-IPGM yang diharapkan daripada pelajar mengikut tahap kursus pengajian adalah seperti yang berikut;

1.2.1. Pengetahuan dan kefahaman

Menunjukan kefahaman tentang kandungan ilmu,teori pembelajaran,bahan kokurikulum,pentaksiran,pengurusan persekitaran pembelajaran dan sumber yang berkaitan dengan bidang pembelajaran.
Menghasilkan pelajar yang berupaya untuk:
1.1 menjelaskan kandungan ilmu yang berkaitan dengan bidang pengajian.
1.2 menghuraikan teori pembelejaran yang memperkukuh kandungan pengetahuan pedagogi.
1.3 mengintepretasikan bahan kokurikulum yang relaven untuk meningkatkan pengajaran dan pembelajaran yang berkesan.
1.4 menjelaskan jenis-jenis pentaksiran dan prosedur yang berkaitan dengan bidang pengajian.
1.5 mengenal pasti sumber yang berkaitan dengan konteks pengajaran dan pembelajaran.
1.6 menganalisis persekitaran pembelajaran untuk keperluan pembelajaran yang pelbagai dengan penggunaan teori dan strategi yang sesuai.

1..2.2. Kemahiran Praktikal

Menggunakan ilmu pengetahuan dan kemahiran untuk melaksanakan pengajaran dan pembelajaran dalam bidang tertentu dengn mengambil kira faktor fizikal,sosial,budaya psikologi dan etika professional keguruan.

Menghasilkan pelajar yang berupaya untuk:
2.1 merancang pengalaman pembelajaran dengan mengambil kira faktor tertentu seperti fizikal,sisial,dan budaya untuk individu dan kumpulan.
2.2 mengintegrasikan kemahiran mengajar, dan kemahiran teknologi maklumat dan komunikasi untuk melaksanakan pengajaran yang berkesan dan bermakna.
2.3 menterjemahkan kandungan kokurikulum secara umum dan spesifik kepada aktiviti pembelajaran yang bermakna.
2.4 mengaplikasikan pelbagai kaedah untuk memantau dan menaksir pengetahuan dan kemahiran.
2.5 merangkakan dan menjalankan penyelidikan untuk penambahbaikan pengajaran dan pembelajaran.
2.6 merancang, mengurus dan melaksanakan aktiviti kokurikulum.

1.2.3 Kemahiran dan Tanggungjawab Sosial

Menghayati dan mengamalkan nilai murni sebagai insan yang percaya dan patuh pada ajaran agama dan kesejahteraan bermasyarakat.

Menghasilkan pelajar yang berupaya:

mengurus masa, emosi dan tekanan secara berkesan.
menghayati dan mengamalkan ajaran agama dalam kehidupan seharian.
mengamalkan nilai-nilai murni melalui tingkah laku yang dapat dijadikan sebagai contoh yang baik.
menunjukan cirri-ciri kebolehan bekerja secara berpasukan.
menunjukkan sikap patriotik terhadap bangsa dan Negara.
bekerjasama danberinteraksi dalam pelbagai budaya dan kepercayaan.

1.2.4 Etika, Professional dan Kemanusiaan

Memiliki dan menampilkan nilai, etika dan amalan yang bertepatan dengan Prinsip Etika Kerja Perkhidmatan Awam dan kod Etika Keguruan Malaysia.

Menghasilkan pelajar yang berupaya:
meningkatkan profesionalisme kendiri secara berteruan.
mempamerkan komitmen kepada kecemerlangan,akauntabiliti, intgriti, bertanggungjawab dan empati untuk melaksana tugas.
bertanggungjawab terhadap pelajar daripada aspek keselamatan, bimbingan dan kebajikan tidak mengira bangsa dan agama.
melaksanakan tanggungjawab dan memberikan secara professional dan beretika.
mematuhi amaln kerja berdasarkan prinsip etika kerja perkhidmatan awam dan kod etika keguruan Malaysia.
berusaha menangani pelbagai cabaran dalam pendidikan.

1.2.5 Komunikasi, Kepimpinan dan Kemahiran Berpasukan

Berkeupayaan mengaplikasikan kemahiran berkomunikasi, kepimpinan dan kerja berpasukan dalam pelbagai situasi sebenar.

Menghasilkan pelajar yang berupaya:
5.1 membina dan mempertahankan hujahan yang berasaskan isu pendidikan secara jelas dan koheren.
5.2 berkomunikasi dengan pelbagai cara secara efektif.
5.3 menapilkan cirri-ciri pemimpinan yang bersesuaian dengan tanggungjawab yang diberikan;
5.4 mewujudkan hubungan mesra dan kerjasama yang erat dengan ibu bapa/penjaga dan masyarakat.
5.5 bekerjasama dengan rakan sejawat untuk meningkatkan profesion keguruan.

1.2.6 Kaedah Saintifik, Pemikiran Kritikal dan Kemahiran Penyelesaian Masalah

Menggunakan proses penyelesaian masalah dan inkuiridalam pembelajaran melalui kemahiran berfikir aras tinggi dan kritikel dengan mengunakan pembelajaran kendiri.

Menghasilkan pelajar yang berupaya:
6.1 menggunakan kemahiran berfikir aras tinggi iaitu termasuk kemahiran inkuiri dalam pengajian akademik.
6.2 mengkaji konsep dan proses utama daripada perspektif penyelesaian masalah dengan menggunakan pelbagai pandekatan termasuk teknologi maklumat dan komunikasi.
6.3 mensintesis maklumat daripada pelbagai sumber untuk memperoleh pemahaman yang koheren tentang teori dan amalan.
6.4 menggungkan pertimbangan sendiri yang berasas untuk menyelesaikan masalah dan membuat keputusan.
6.5 memodeli dan menggalakkan pembelajaran secara inkuiri dan koperatif serta menggunakan pendekatan pembelajaran kendiri.

1.2.7 Pembelajaran Sepanjang Hayat.

Berusaha kearah peningkatan pengetahuan dan kemahiran untuk diamalkan dalam kehidupan harian.

Menghasilkan pelajar yang berupaya:
7.1 mengamalkan prinsip-prinsip rukun Negara dan falsafah pendidikan kebangsaan dalam kehidupan seharian.
7.2 membuat refleksi dan menilai amalan pembelajaran serta menjanakan idea baru untuk penambahbaikan yang berterusan.
7.3 membuat muhasabah diri, menerima kelemahan diri dan sanggup berubah;
7.4 mengamalkanpengetahuan dan kemahiran yang dikuasai dalam kehidupan seharian;
7.5 menggunakan kemahiran akses kendiri, kadarkendiri dan terarah kendiri untuk kecemerlangan diri yang berterusan.

1.2.8 Kemahiran Pengurusan dan Keusahawaan.

Menggunakan peluang untuk menyusun strategi bagi melaksanakan sesuatu yang menunjukan cirri-ciri keusahawanan.

Menghasilkan pelajar yang berupaya:
8.1 mengenal pesti peluang dan risiko untuk melaksanakan tanggungjawab baharu;
8.2 mengenlpasti kewangan, tenaga manusia bahan dan peralatan serta pengurusan untuk melaksanakan sesuatu projek dengan berkesan.
8.3 berkomunikasidengan berkesan untuk menyakinkan pelbagai pihak supaya terlibat dalam membuat keputusan.
8.4 menghubungkaitkan pelbagai idea untuk menghasilkan pelbagai projek baharu.
8.5 menyusunkan strategi untuk melaksanakan sesuatu tugasan secara kritis, kreatif dan inovatif untuk melaksanakan sesuatu tugasan



Read More sir/mrs....

Saturday, August 22, 2009

STRATEGI MEMBACA BEBAS (INDEPENDENT READING STRATEGY) DALAM KEMAHIRAN MEMBACA.

Oleh:
Ismail Bin Ag. Piut
KJ. JKS. IPGM KKent, Tuaran

Strategi Membaca Bebas biasanya digunakan untuk membina kemahiran lanjut dan fluensi pelajar dalam membaca. Strategi ini melibatkan suasana pembelajaran yang santai (relaxed) dan menyeronokkan. Guru hendaklah mempastikan bahawa perlakuan membaca bebas pelajar akan dinilai dan diperhatikan di samping memberi masa yang efektif kepada murid untuk menikmati pembacaan secara bebas. Ini disebabkan membaca secara rekreasi akan meningkatkan kadar kemampuan murid berfikir, berhujah, dan belajar di sekolah. McQuillan (1998) melihat keberuntungan itu dalam bentuk pencapaian akademik sebagaimana kenyataan beliau yang berikut:

“…The connection between the amount of reading done and reading proficiency has been well known and accepted for a number of years. Less well known but of equal importance has been the finding that more access to reading materials lead to more reading, and subsequently higher reading achievement……access to books in schools via the library was the most powerful predictor of academic achievement among several variables analysed…”
Kamaruddin Hj. Husin (2001) melanjutkan skop keberuntungan Pembacaan Lanjut ini kepada kebolehan untuk membetulkan fahaman kendiri yang salah, membandingkan fikiran dan pengalaman orang lain (penulis) untuk menyelesaikan masalah spesifik tentang kehidupan harian.

Dalam hubungan ini Howard Fancy (2006) mendefinisikan Strategi Membaca Bebas sebagai;
“…is an essential part of the classroom literacy programme. Students were encouraged to select their own texts, read them, and share what they have read, if they are to become lifelong readers. Ready access to a wide range of interesting and challenging texts enable students to choose to read independently when opportunities arise. Teachers need to make it clear that students benefit when they read for pleasure, wheather in or out of school. Students achieve better when they see their teacher reading independently for pleasure.”

Untuk menjadikan strategi ini lebih signifikan dengan kemahiran berfikir pelajar dan kemahiran metakognitif dalam membaca, guru mestilah memberikan tugasan spesifik kepada pelajar khususnya maklumat yang perlu dicatatkan dalam buku Log Membaca.

Secara umum, antara objektif Strategi Membaca Bebas yang diketahui umum adalah disasarkan kepada:
  1. Membina dan mengekalkan tabiat membaca sepanjang hayat.
  2. Membantu pelajar membina keutamaan pembacaan kendiri (reading preferences).
  3. Meningkatkan latar belakang keilmuan pelajar dan tajuk yang berkaitan dengannya.
  4. Membenarkan murid mempraktikkan dan mengembangkan kebolehan menggunakan strategi membaca teks pilihan sendiri.
  5. Memperkayakan perbendaharaan kata dan kemahiran memaham pelajar.
  6. Membantu pelajar mengekalkan minat membaca mengikut masa yang ditentukan sendiri.
  7. Memudahkan tanggungjawab penyelesaian masalah menerusi penggunaan kata, makna, dan ciri teks yang dipelajari.
  8. Membina keyakinan pelajar dalam mencuba dan meneroka teks yang lebih sukar dan mencabar.

Secara umum, strategi ini boleh dilaksanakan sama ada di dalam bilik darjah dan di luar kelas formal. Namun, dalam konteks pengajaran bahasa secara aktif, sesi pelaksanaan strategi ini di dalam kelas adalah digalakkan untuk murid Tahap Dua Sekolah Rendah Kebangsaan dalam waktu yang dirancangkan bagi sekurang-kurangnya tiga puluh minit mengikut jadual waktu formal sama ada berbentuk jadual waktu belajar sendiri atau jadual waktu belajar di perpustakaan. Sayugia diingatkan, bahawa pelajar mestilah terlebih dahulu diberi peluang untuk mencari tajuk buku pilihan mereka sebelum pergi ke perpustakaan atau memulakan strategi ini. Secara spesifik, prosedur pelaksanaannya adalah seperti berikut.-


Sesi P&P
Tindakan/ Aktiviti Strategik

Sebelum Membaca
  1. Membincangkan tajuk dan gambar/ hiasan kulit luar buku (book cover), kandungan, prakata (blurb), dll.
  2. Meminta pelajar membuat bacaan skimming terhadap teks dan menyoal untuk penjelasan konteks.
  3. Membantu pelajar menghubungkait latarbelakang pengetahuan mereka dengan kandungan teks yang dibaca.
  4. Membina matlamat membaca dan membuat set soalan berpandu ( set guided questions).
  5. Mengadakan dan melaksanakan prosedur pemantauan kendiri bersama guru dan pelajar (self-monitoring procedures) melalui reading logs, senarai semak (checklists), dan seminar mini (mini conferences) .


Semasa Membaca
  1. Mengarahkan pelajar membaca secara senyap buku pilihan mereka mengikut kadar kemampuan (at their own pace).
  2. Meminta pelajar merekodkan perkara-perkara yang menarik atau sukar dalam nota atau kertas untuk dibincangkan dalam pertemuan berikutnya (later conference).
  3. Ketika murid membaca, arahkan pelajar memikirkan atau menentukan jenis aktiviti respon/ perbincangan/ atau maklumbalas yang dikehendaki selepas sesi membaca.


Selepas Membaca
  1. Minta pelajar merekod dapatan bacaan dalam reading log.
  2. Mengadakan konferen guru-pelajar untuk
  3. Membincangkan aspek kefahaman pelajar dan maklumbalas (response) tentang buku yang dibaca.
  4. Menyediakan maklumbalas dalam pelbagai bentuk aktiviti (response activities) seperti ulasan buku (book reviews), poster, lukisan, rajah, dll
  5. Menyemak dan menilai fluensi dalam membaca.
  6. Menggalakkan pelajar membincangkan dan berkongsi pendapat tentang dapatan daripada teks dengan rakan sebaya. Guru boleh mencelah untuk meningkatkan kefahaman atau memandu perbincangan pelajar.
Bahan bacaan yang ditentukan pelajar sebaiknya dalam pelbagai bidang, bentuk, dan bersesuaian dengan aras kemampuan membaca mereka seperti teks bergambar, cerita berasaskan gambar tunggal, cerita berdasarkan gambar bersiri, petikan surat khabar, artikel daripada majalah, jurnal sekolah, buku besar, cerita-cerita tempatan, brosur dan iklan, serta bahan-bahan daripada capaian ICT. Kadar kepanjangan bahan bacaan mestilah sesuai untuk sesi pembacaan selama 30 minit agar pelajar dapat menghayati bacaan secara penuh.

Manakala tugasan spesifik untuk kemahiran membaca murid haruslah menjurus kepada kepelbagaian kemahiran berfikir secara tinggi (HoTS) dan berfokus kepada salah satu daripada pelbagai tugasan berikut. Ini amat penting supaya pelajar dapat memilih kesesuaian bahan bacaan dengan kehendak tugasan yang diberikan. Ini sekaligus mengelakkan amalan biasa yang meminta pelajar menulis parkara yang sama bagi setiap buku yang dibaca, budaya membaca separuh dan membaca hambar atau tidak aktif dalam ertikata membaca tanpa penghayatan. Antara fokus maklumat yang mesti ditulis dalam Buku Log Membaca adalah seperti yang berikut;

JENIS BUKU :

TAJUK :

PENULIS :

ILUSTRASI :

TARIKH MULA BACA: TARIKH TAMAT BACA:


  1. Saya fikir, buku ini sesuai untuk orang yang …………
  2. Tuliskan satu ringkasan bagi setiap bab……………….
  3. Jika saya menulis kembali buku ini, saya akan mengubah…….
  4. Tuliskan tentang sebahagian cerita yang menyebabkan anda menjadi takut……..
  5. Bahagian yang paling penting dalam buku ini ialah…..
  6. Bincangkan bagaimana ilustrasi yang terdapat dalam buku ini membantu anda merasa seronok ketika membaca….
  7. Saya fikir penulis menulis buku ini kerana…….
  8. Klimaks cerita dalam buku ialah apabila…………..
  9. Buku ini mengenai………
  10. Bahagian yang paling saya minati dalam buku ini ialah…….
  11. Di sini ialah gambaran (lukisan) tentang bahagian yang paling menarik dalam buku ini.
  12. Senaraikan watak dan perwatakan yang terdapat dalam cerita……
  13. Bahagian yang paling melucukan dalam buku ini ialah…..
  14. Daripada buku ini saya belajar tentang……..
  15. Gambarkan satu peristiwa dalam buku ini…..
  16. Nyatakan dua factor yang paling menarik dalam buku ini dan mengapa?
  17. Penghujung cerita ini ialah mengenai ………….
  18. Bahagian cerita dalam buku ini yang saya ingin memegang watak ialah ketika…
  19. Watak utama dalam cerita ini ialah…
  20. Buku ini mengingatkan saya tentang….
  21. Lukiskan aliran cerita/ rajah yang terkandung dalam buku ini…
  22. Tajuk yang sesuai untuk cerita ini ialah…
  23. Orang yang paling sesuai dan seronok apabila membaca buku ini ialah…
  24. Tuliskan lima kata yang paling menarik dalam buku ini dan mengapa?
  25. Berikut ialah tajuk-tajuk bab dalam buku ini….
  26. Nilaikan sama ada kenyataan dalam ‘prakata’ (book blurb) adalah sama/ sesuai dengan isi cerita.
  27. Ceritakan bahagian buku yang menyebabkan anda bersedih…..
  28. Buku ini bermula dengan……
  29. Mitos dan lagenda daripada buku ini diambil daripada.. atau mengenai….
  30. Watak yang paling saya suka dalam buku ini ialah….
  31. Jelaskan perkembangan cerita (plot) dalam cerita ini.
  32. Buku ini menyebabkan saya………
  33. Dua fakta menarik yang saya belajar daripada buku ini ialah…..
  34. Berikut ialah beberapa perkataan yang menggambarkan perwatakan watak utama dalam cerita ini.
  35. Puisi yang terdapat dalam buku ini ialah…
  36. Maklumat yang terkandung dalam buku ini ialah tentang…
  37. Bahagian dalam buku ini yang membuat saya berfikir panjang ialah….
  38. Bahagian cerita yang paling lama kekal dalam ingatan saya ialah…
  39. Bahagian dalam buku/ cerita yang paling buruk/ tidak sesuai ialah….
  40. Siapakah watak dalam cerita yang ingin anda jadikan kawan dan mengapa?
Nota: Pelajar hanya dibenarkan memilih satu daripada 40 tugasan di atas untuk setiap bahan yang dibaca.

Kesimpulannya, dapat dikatakan bahawa Strategi Membaca Bebas seharusnya dilaksanakan secara formal di dalam jadual waktu kelas dengan dapatan ditulis dalam Buku Log Bacaan serta disusuli dengan perkongsian dapatan dalam Seminar Mini yang diadakan pada sesi yang lain. Penyediaan ruang dan peluang untuk pelajar membaca dengan penghayatan dan keseronokan melalui pelbagai atau peluasan bentuk teks akan memberikan impak maksima kepada peningkatan akademik dan pengalaman pelajar (Smith.J and Elley.W, 1997). Dalam konteks Budaya IPG dan Misi KPM, strategi ini merupakan kaedah yang menjurus kepada pencapaian gagasan Budaya Pembelajaran Sepanjang Hayat.


Rujukan
  1. BBC (2008), Learning material – http://www.bbc.co.uk/school// http://english.unitechnology.ac.nz/resources/exp-lang/news.html. Diakses pada Jun 8, 2008.
  2. Clarke S, Timperley H, and Hattie J (2006), Unlocking Formative Assessment, New Zealand Edition, Hodder Education, New Zealand.
  3. Curriculum Concepts (2008), My Reading Log 1, www.curriculumconcepts.co.nz. Diakses pada 8 Jun 2008.
  4. Helen Timperley and Parr J (2004), Using Evidence in Teaching Practice; Implication for Professional Learning, Hodder Education, Auckland.
  5. Kamaruddin Hj. Husin (2001), Pedagogi Bahasa; Perkaedahan, Kumpulan Budiman Sdn. Bhd, Kuala Lumpur.
  6. McQuillan. J.(1998), The Literacy Crisis: False Claims, Real Solution, Portsmouth, NH: Heinemann.
  7. Martha McKenzie (2007), Pupils will Learn How to Learn, The NZ Herald, Wednesday, Nov.7, 2007.
  8. Howard Fancy (2006), Effective Literacy Practice in Year 5 to 8, MOENZ, Learning Media Limited, Wellington.
  9. Smith J. and Elley W. (1997), How Children Learn to Read, Auckland, Longman.
  10. The University of Auckland (2007), English and Literacy Methodologies, Faculty of Education, UoA, Auckland.







Read More sir/mrs....

Saturday, February 21, 2009

STRATEGI KEBITARAAN JABATAN SAINS SOSIAL, IPGM KAMPUS KENT

Kebitaraan IPGM Kampus Kent adalah Kajian Sosial(Kini Jabatan Sains Sosial). Strategi Kebitaraan kajian Sosial(Sains Sosial) yang terdiri dari unit Pengajian Sosial, Kemahiran Hidup, Muzik dan Pendidikan Seni Visual merancang sekurang-kurangnya 11 strategi Kebitaraan. Antaranya;

1. Academic Benchmark. JSS akan menjadi benchmark kepada jabatan lain, JSS di IPGM lain dengan memberi penekanan kepada aspek seperti learning repository system yang mantap.
2. Kursus Dalam Perkhidmatan(KDP) dan Kursus Pendek Kelolaan Institut (KPKI) yang bercirikan kebitaraan.
3. Resos, Pengajaran dan Pembelajaran yang berkualiti dan bercirikan kebitaraan.
4. Produk berkualiti (pelajar).
5. JSS menjadi pusat penataran/konsultan yang mempunyai tenaga akademik berkualiti.
6. Menerbitkan lebih banyak jurnal kajian sosial, jurnal ilmiah dan modul pengajian sosial.
7. Citation, IPGM Kampus Kent akan menjadi rujukan kepada pihak luar.
8. JSS akan menjadi Corporat Image dengan mewujudkan kombo, brass band, koir, galeri, wall of fame, koridor kecemerlangan dan galeri seni Visual.
9. Merancang seminar/persidangan/forum, visiting lecturer, wacana dan tweening programme dengan universiti-universiti luar negara dan dalam negara.
10. Menghasilkan sejarah IPGM Kampus Kent melalui penerbitan dan mewujudkan arkib IPGM Kampus Kent.
11. Wall of Fame (Tokoh-tokoh yang dihasilkan oleh IPGM Kampus Kent sepanjang 1952-2009).


Read More sir/mrs....

Tuesday, January 27, 2009

CARTA ORGANISASI & VISI DAN MISI JABATAN

VISI JABATAN
"Guru Sains Sosial Bertaraf Dunia yang Memenuhi Keperluan dan Aspirasi Negara"

MISI JABATAN
"Melalui guru sains sosial yang beketrampilan dan bertaraf dunia yang memiliki kecemerlangan perguruan selaras dengan aspirasi negara"

OBJEKTIF JABATAN

Mempertingkatkan keberkesanan pelaksanaan kurikulum
Memupuk dan memantapkan sahsiah serta jati diri warga institut.
Menaiktaraf kemudahan, infrastruktur untuk memenuhi keperluan latihan.
Mengoptima pengupayaan diri dan kompetensi profesionalisme keguruan warga institut.
Meningkatkan jalinan perkongsian pintar dan kolaborasi dengan organisasi dalam dan luar negara.
Memastikan ketekalan amalan jaminan kualiti.



Read More sir/mrs....