Saturday, August 22, 2009

STRATEGI MEMBACA BEBAS (INDEPENDENT READING STRATEGY) DALAM KEMAHIRAN MEMBACA.

Oleh:
Ismail Bin Ag. Piut
KJ. JKS. IPGM KKent, Tuaran

Strategi Membaca Bebas biasanya digunakan untuk membina kemahiran lanjut dan fluensi pelajar dalam membaca. Strategi ini melibatkan suasana pembelajaran yang santai (relaxed) dan menyeronokkan. Guru hendaklah mempastikan bahawa perlakuan membaca bebas pelajar akan dinilai dan diperhatikan di samping memberi masa yang efektif kepada murid untuk menikmati pembacaan secara bebas. Ini disebabkan membaca secara rekreasi akan meningkatkan kadar kemampuan murid berfikir, berhujah, dan belajar di sekolah. McQuillan (1998) melihat keberuntungan itu dalam bentuk pencapaian akademik sebagaimana kenyataan beliau yang berikut:

“…The connection between the amount of reading done and reading proficiency has been well known and accepted for a number of years. Less well known but of equal importance has been the finding that more access to reading materials lead to more reading, and subsequently higher reading achievement……access to books in schools via the library was the most powerful predictor of academic achievement among several variables analysed…”
Kamaruddin Hj. Husin (2001) melanjutkan skop keberuntungan Pembacaan Lanjut ini kepada kebolehan untuk membetulkan fahaman kendiri yang salah, membandingkan fikiran dan pengalaman orang lain (penulis) untuk menyelesaikan masalah spesifik tentang kehidupan harian.

Dalam hubungan ini Howard Fancy (2006) mendefinisikan Strategi Membaca Bebas sebagai;
“…is an essential part of the classroom literacy programme. Students were encouraged to select their own texts, read them, and share what they have read, if they are to become lifelong readers. Ready access to a wide range of interesting and challenging texts enable students to choose to read independently when opportunities arise. Teachers need to make it clear that students benefit when they read for pleasure, wheather in or out of school. Students achieve better when they see their teacher reading independently for pleasure.”

Untuk menjadikan strategi ini lebih signifikan dengan kemahiran berfikir pelajar dan kemahiran metakognitif dalam membaca, guru mestilah memberikan tugasan spesifik kepada pelajar khususnya maklumat yang perlu dicatatkan dalam buku Log Membaca.

Secara umum, antara objektif Strategi Membaca Bebas yang diketahui umum adalah disasarkan kepada:
  1. Membina dan mengekalkan tabiat membaca sepanjang hayat.
  2. Membantu pelajar membina keutamaan pembacaan kendiri (reading preferences).
  3. Meningkatkan latar belakang keilmuan pelajar dan tajuk yang berkaitan dengannya.
  4. Membenarkan murid mempraktikkan dan mengembangkan kebolehan menggunakan strategi membaca teks pilihan sendiri.
  5. Memperkayakan perbendaharaan kata dan kemahiran memaham pelajar.
  6. Membantu pelajar mengekalkan minat membaca mengikut masa yang ditentukan sendiri.
  7. Memudahkan tanggungjawab penyelesaian masalah menerusi penggunaan kata, makna, dan ciri teks yang dipelajari.
  8. Membina keyakinan pelajar dalam mencuba dan meneroka teks yang lebih sukar dan mencabar.

Secara umum, strategi ini boleh dilaksanakan sama ada di dalam bilik darjah dan di luar kelas formal. Namun, dalam konteks pengajaran bahasa secara aktif, sesi pelaksanaan strategi ini di dalam kelas adalah digalakkan untuk murid Tahap Dua Sekolah Rendah Kebangsaan dalam waktu yang dirancangkan bagi sekurang-kurangnya tiga puluh minit mengikut jadual waktu formal sama ada berbentuk jadual waktu belajar sendiri atau jadual waktu belajar di perpustakaan. Sayugia diingatkan, bahawa pelajar mestilah terlebih dahulu diberi peluang untuk mencari tajuk buku pilihan mereka sebelum pergi ke perpustakaan atau memulakan strategi ini. Secara spesifik, prosedur pelaksanaannya adalah seperti berikut.-


Sesi P&P
Tindakan/ Aktiviti Strategik

Sebelum Membaca
  1. Membincangkan tajuk dan gambar/ hiasan kulit luar buku (book cover), kandungan, prakata (blurb), dll.
  2. Meminta pelajar membuat bacaan skimming terhadap teks dan menyoal untuk penjelasan konteks.
  3. Membantu pelajar menghubungkait latarbelakang pengetahuan mereka dengan kandungan teks yang dibaca.
  4. Membina matlamat membaca dan membuat set soalan berpandu ( set guided questions).
  5. Mengadakan dan melaksanakan prosedur pemantauan kendiri bersama guru dan pelajar (self-monitoring procedures) melalui reading logs, senarai semak (checklists), dan seminar mini (mini conferences) .


Semasa Membaca
  1. Mengarahkan pelajar membaca secara senyap buku pilihan mereka mengikut kadar kemampuan (at their own pace).
  2. Meminta pelajar merekodkan perkara-perkara yang menarik atau sukar dalam nota atau kertas untuk dibincangkan dalam pertemuan berikutnya (later conference).
  3. Ketika murid membaca, arahkan pelajar memikirkan atau menentukan jenis aktiviti respon/ perbincangan/ atau maklumbalas yang dikehendaki selepas sesi membaca.


Selepas Membaca
  1. Minta pelajar merekod dapatan bacaan dalam reading log.
  2. Mengadakan konferen guru-pelajar untuk
  3. Membincangkan aspek kefahaman pelajar dan maklumbalas (response) tentang buku yang dibaca.
  4. Menyediakan maklumbalas dalam pelbagai bentuk aktiviti (response activities) seperti ulasan buku (book reviews), poster, lukisan, rajah, dll
  5. Menyemak dan menilai fluensi dalam membaca.
  6. Menggalakkan pelajar membincangkan dan berkongsi pendapat tentang dapatan daripada teks dengan rakan sebaya. Guru boleh mencelah untuk meningkatkan kefahaman atau memandu perbincangan pelajar.
Bahan bacaan yang ditentukan pelajar sebaiknya dalam pelbagai bidang, bentuk, dan bersesuaian dengan aras kemampuan membaca mereka seperti teks bergambar, cerita berasaskan gambar tunggal, cerita berdasarkan gambar bersiri, petikan surat khabar, artikel daripada majalah, jurnal sekolah, buku besar, cerita-cerita tempatan, brosur dan iklan, serta bahan-bahan daripada capaian ICT. Kadar kepanjangan bahan bacaan mestilah sesuai untuk sesi pembacaan selama 30 minit agar pelajar dapat menghayati bacaan secara penuh.

Manakala tugasan spesifik untuk kemahiran membaca murid haruslah menjurus kepada kepelbagaian kemahiran berfikir secara tinggi (HoTS) dan berfokus kepada salah satu daripada pelbagai tugasan berikut. Ini amat penting supaya pelajar dapat memilih kesesuaian bahan bacaan dengan kehendak tugasan yang diberikan. Ini sekaligus mengelakkan amalan biasa yang meminta pelajar menulis parkara yang sama bagi setiap buku yang dibaca, budaya membaca separuh dan membaca hambar atau tidak aktif dalam ertikata membaca tanpa penghayatan. Antara fokus maklumat yang mesti ditulis dalam Buku Log Membaca adalah seperti yang berikut;

JENIS BUKU :

TAJUK :

PENULIS :

ILUSTRASI :

TARIKH MULA BACA: TARIKH TAMAT BACA:


  1. Saya fikir, buku ini sesuai untuk orang yang …………
  2. Tuliskan satu ringkasan bagi setiap bab……………….
  3. Jika saya menulis kembali buku ini, saya akan mengubah…….
  4. Tuliskan tentang sebahagian cerita yang menyebabkan anda menjadi takut……..
  5. Bahagian yang paling penting dalam buku ini ialah…..
  6. Bincangkan bagaimana ilustrasi yang terdapat dalam buku ini membantu anda merasa seronok ketika membaca….
  7. Saya fikir penulis menulis buku ini kerana…….
  8. Klimaks cerita dalam buku ialah apabila…………..
  9. Buku ini mengenai………
  10. Bahagian yang paling saya minati dalam buku ini ialah…….
  11. Di sini ialah gambaran (lukisan) tentang bahagian yang paling menarik dalam buku ini.
  12. Senaraikan watak dan perwatakan yang terdapat dalam cerita……
  13. Bahagian yang paling melucukan dalam buku ini ialah…..
  14. Daripada buku ini saya belajar tentang……..
  15. Gambarkan satu peristiwa dalam buku ini…..
  16. Nyatakan dua factor yang paling menarik dalam buku ini dan mengapa?
  17. Penghujung cerita ini ialah mengenai ………….
  18. Bahagian cerita dalam buku ini yang saya ingin memegang watak ialah ketika…
  19. Watak utama dalam cerita ini ialah…
  20. Buku ini mengingatkan saya tentang….
  21. Lukiskan aliran cerita/ rajah yang terkandung dalam buku ini…
  22. Tajuk yang sesuai untuk cerita ini ialah…
  23. Orang yang paling sesuai dan seronok apabila membaca buku ini ialah…
  24. Tuliskan lima kata yang paling menarik dalam buku ini dan mengapa?
  25. Berikut ialah tajuk-tajuk bab dalam buku ini….
  26. Nilaikan sama ada kenyataan dalam ‘prakata’ (book blurb) adalah sama/ sesuai dengan isi cerita.
  27. Ceritakan bahagian buku yang menyebabkan anda bersedih…..
  28. Buku ini bermula dengan……
  29. Mitos dan lagenda daripada buku ini diambil daripada.. atau mengenai….
  30. Watak yang paling saya suka dalam buku ini ialah….
  31. Jelaskan perkembangan cerita (plot) dalam cerita ini.
  32. Buku ini menyebabkan saya………
  33. Dua fakta menarik yang saya belajar daripada buku ini ialah…..
  34. Berikut ialah beberapa perkataan yang menggambarkan perwatakan watak utama dalam cerita ini.
  35. Puisi yang terdapat dalam buku ini ialah…
  36. Maklumat yang terkandung dalam buku ini ialah tentang…
  37. Bahagian dalam buku ini yang membuat saya berfikir panjang ialah….
  38. Bahagian cerita yang paling lama kekal dalam ingatan saya ialah…
  39. Bahagian dalam buku/ cerita yang paling buruk/ tidak sesuai ialah….
  40. Siapakah watak dalam cerita yang ingin anda jadikan kawan dan mengapa?
Nota: Pelajar hanya dibenarkan memilih satu daripada 40 tugasan di atas untuk setiap bahan yang dibaca.

Kesimpulannya, dapat dikatakan bahawa Strategi Membaca Bebas seharusnya dilaksanakan secara formal di dalam jadual waktu kelas dengan dapatan ditulis dalam Buku Log Bacaan serta disusuli dengan perkongsian dapatan dalam Seminar Mini yang diadakan pada sesi yang lain. Penyediaan ruang dan peluang untuk pelajar membaca dengan penghayatan dan keseronokan melalui pelbagai atau peluasan bentuk teks akan memberikan impak maksima kepada peningkatan akademik dan pengalaman pelajar (Smith.J and Elley.W, 1997). Dalam konteks Budaya IPG dan Misi KPM, strategi ini merupakan kaedah yang menjurus kepada pencapaian gagasan Budaya Pembelajaran Sepanjang Hayat.


Rujukan
  1. BBC (2008), Learning material – http://www.bbc.co.uk/school// http://english.unitechnology.ac.nz/resources/exp-lang/news.html. Diakses pada Jun 8, 2008.
  2. Clarke S, Timperley H, and Hattie J (2006), Unlocking Formative Assessment, New Zealand Edition, Hodder Education, New Zealand.
  3. Curriculum Concepts (2008), My Reading Log 1, www.curriculumconcepts.co.nz. Diakses pada 8 Jun 2008.
  4. Helen Timperley and Parr J (2004), Using Evidence in Teaching Practice; Implication for Professional Learning, Hodder Education, Auckland.
  5. Kamaruddin Hj. Husin (2001), Pedagogi Bahasa; Perkaedahan, Kumpulan Budiman Sdn. Bhd, Kuala Lumpur.
  6. McQuillan. J.(1998), The Literacy Crisis: False Claims, Real Solution, Portsmouth, NH: Heinemann.
  7. Martha McKenzie (2007), Pupils will Learn How to Learn, The NZ Herald, Wednesday, Nov.7, 2007.
  8. Howard Fancy (2006), Effective Literacy Practice in Year 5 to 8, MOENZ, Learning Media Limited, Wellington.
  9. Smith J. and Elley W. (1997), How Children Learn to Read, Auckland, Longman.
  10. The University of Auckland (2007), English and Literacy Methodologies, Faculty of Education, UoA, Auckland.







Read More sir/mrs....