Friday, December 18, 2009

Gaya Pembelajaran Pelajar PISMP Institut Perguruan Kent Tuaran

Oleh

Saimin Ginsari
Jabatan Kajian Sosial
Institut Perguruan kent, Tuaran


ABSTRAK


Kajian ini adalah berbentuk tinjauan dengan tujuan untuk mengenal pasti gaya pembelajaran guru pelatih Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan(PISMP) di Institut Perguruan Kent, Tuaran Sabah. Selain mengenal pasti gaya pembelajaran guru pelatih secara keseluruhan, kajian juga telah mengenal pasti gaya pembelajaran guru pelatih mengikut jantina. Pengkaji telah menggunakan keseluruhan populasi seramai 38 orang sebagai sampel kajian. Alat ukur kajian melibatkan soal selidik yang dibina berdasarkan Index of Learning Style daripada model gaya pembelajaran Felder dan Silverman (1988). Analisis data menggunakan statistik deskriptif melibatkan frekuensi, peratus, min dan sisihan piawai untuk mengenal pasti gaya pembelajaran guru pelatih secara keseluruhan dan mengikut jantina. Hasil kajian mendapati terdapat pelbagai jenis gaya pembelajaran guru pelatih termasuklah gaya pembelajaran reflektif, sensori, visual, sequential dan global. Responden perempuan pula mempunyai gaya pembelajaran reflektif, sensori, sequential, visual dan global sementara lelaki hanya mempunyai gaya pembelajaran reflektif, sensori dan sequential sahaja.



Latar belakang kajian

Pada asasnya, terdapat tiga jenis gaya pembelajaran pelajar yang biasanya senang dikenal pasti di kalangan kanak-kanak di bawah umur 10 tahun. Tiga jenis gaya pembelajaran tersebut adalah berdasarkan kepada teori ‘multiple intelligences Gardner’ iaitu gaya pembelajaran visual, gaya pembelajaran auditori dan gaya pembelajaran kinestetik (Abdul Aziz, 1999)..
Model-model gaya pembelajaran dan dapatan kajian tentang gaya pembelajaran mendapati terdapat pelbagai jenis gaya pembelajaran. Perbezaan gaya pembelajaran ini umumnya dikaitkan dengan faktor persekitaran, emosi, sosiologi, fisiologi dan psikologi seseorang (Dunn dan Dunn,1978). Elemen-elemen inilah yang membentuk gaya pembelajaran seseorang individu.

Pernyataan masalah

Kajian ini bertujuan untuk mengenal pasti gaya pembelajaran yang diamalkan oleh guru-guru pelatih Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) – Kementerian Pelajaran Malaysia(KPM). Keperluan untuk memahami dan mengenal pasti gaya pembelajaran guru pelatih di Institut Pendidikan Guru penting supaya sesebuah institut dapat melaksanakan strategi pelaksanaan kurikulum sepertimana yang terkandung dalam Kerangka Konseptual Kurikulum dengan berkesan. Dalam masa yang sama, kajian juga tentunya dapat dijadikan panduan untuk merangka struktur pelaksanaan kurikulum PISMP setelah mengambil kira aspek-aspek tertentu termasuk gaya pembelajaran guru pelatih PISMP.

Persoalan Kajian

1. Apakah jenis gaya pembelajaran yang diamalkan dalam kalangan guru pelatih PISMP-KPM?
2. Adakah wujud perbezaan gaya pembelajaran dalam kalangan guru pelatih PISMP-KPM?
3. Apakah jenis gaya pembelajaran guru pelatih PISMP-KPM mengikut jantina?


Objektif Kajian

Tujuan utama kajian adalah untuk mengenal pasti gaya pembelajaran guru pelatih PISMP-KPM di Institut Perguruan Kent, Tuaran. Dalam masa yang sama, kajian juga akan mengenal pasti adakah wujud perbezaan gaya pembelajaran guru pelatih PISMP tersebut. Selain itu, kajian juga akan mengenalpasti jenis gaya pembelajaran guru pelatih mengiktut jantina.

Batasan Kajian

Kajian akan hanya dijalankan di Institut Perguruan Kent, Tuaran. Kumpulan guru pelatih yang dikaji adalah guru pelatih PISMP-KPM Semester 5, unit PSV dan Bahasa Arab.




Justifikasi Kajian

Untuk jangka panjang, dapatan kajian tentunya berguna khususnya kepada Institusi Pendidikan Guru untuk menilai kaitan gaya pembelajaran dengan pelaksanaan struktur kurikulum PISMP-KPM. Dapatan kajian juga tentunya berguna kepada pensyarah-pensyarah Institut Pendidikan Guru untuk merangka dan merancang pengajaran mereka sesuai dengan gaya pembelajaran yang diamalkan oleh guru-guru pelatih PISMP-KPM.

TINJAUAN LITERATUR

Model Gaya Pembelajaran

Terdapat pelbagai model gaya pembelajaran. Antaranya adalah Model Gaya Pembelajaran Kolb, Honey dan Mumford(1986), Model Felder dan Silverman(1988), Model Myers-Briggs Type Indicator(MBTI), Hermann Brain Dominance Intrument(HBDI), Model Gregorc, Model Gaya pembelajaran Pask, Gaya pembelajaran Guilford(1981), Model Gaya pembelajaran Edward De Bono, Model Dunn dan Dunn dan Gaya Pembelajaran Paragon. Instrumen gaya pembelajaran pula antaranya adalah Gregorc Style Delineator (Model Gregorc), Index of Learning Style (Richard M. Felder), Kolb’s Learning Style Inventory (model Kolb) dan Learning Style Questionaire (Honey dan Mumford).

Kajian-kajian Lepas

Kajian Nazamud-din Alias(2005) yang membuat kajian ke atas guru pelatih Kursus Pengajian Lepasan Ijazah, Institut Perguruan Batu Lintang mendapati majoriti gaya pembelajaran pelatih KPLI adalah dalam dimensi “ekstrovet”, “sensate”,” thinker” dan “judger”. Khalid(1999) pula mendapati bahawa di institusi pengajian tinggi terdapat tiga jenis gaya pembelajaran yang diamalkan. Iaitu secara bersendirian, gaya pembelajaran berkumpulan dan gaya pembelajaran tutorial. Atan Long(1988) pula menjelaskan bahawa keberkesanan gaya pembelajaran bergantung kepada dua bahagian pembelajaran, iaitu pembelajaran memproses maklumat dan pembelajaran menggunakan pengalaman.
Dunn(1997) dalam kajiannya terhadap gaya pembelajaran telah merumuskan bahawa budaya memang memberi kesan terhadap gaya pembelajaran, tetapi satu-satu gaya pembelajaran tidak terbatas kepada satu kumpulan budaya sesebuah budaya masyarakat. Busato, V. (2000), Shaw, G. dan Marlow, N. (1999) yang membuat kajian terhadap kebolehan inteletual, gaya pembelajaran, personaliti, motivasi pencapaian dan kejayaan akademik pelajar-pelajar psikologi di institusi pendidikan tinggi mendapati bahawa tidak ada hubungan positif antara kejayaan akademik dengan gaya pembelajaran. Heide, H.,(2002) dan Quellete, R.(2000) juga terlibat dalam kajian terhadap jantina, etnik, kemampuan belajar dan gaya belajar.

METODOLOGI KAJIAN

Reka bentuk kajian

Reka bentuk kajian adalah penyelidikan tinjauan. Kaedah ini sesuai kerana objektif kajian hanya bertujuan untuk mengenal pasti jenis-jenis gaya pembelajaran guru pelatih PISMP-KPM mengikut jantina.

Populasi dan persampelan
Gaya pembelajaran yang dikaji adalah di kalangan guru pelatih PISMP-KPM Semester 5. Semua guru pelatih PISMP-IPGM Bahasa Arab dan PSV di IP Kent, Tuaran adalah seramai 38 orang adalah populasi kajian.




Alat Kajian
Alat kajian yang digunakan adalah borang soal selidik. Dalam setiap borang soal selidik, terdapat dua bahagian, iaitu bahagian A dan B. Bahagian-bahagian tersebut ditunjukkan dalam jadual 1 berikut;

Jadual 1 Item Soal Selidik dan Perincian Maklumat

Item Perincian Maklumat
Bahagian A Jantina
Bahagian B: 1- 40 Jenis-jenis Gaya Pembelajaran Responden

Dalam bahagian B, item-item adalah berbentuk pernyataan. Item-item dibina berdasarkan kepada Index of Learning Syles dalam model gaya pembelajaran Felder dan Silverman (1988). Gaya pembelajaran model Felder dan Siverman adalah aktif atau reflektif, sensori atau intuisi, sequential atau global dan visual atau verbal.
Bahagian B terdiri daripada 40 item iaitu setiap satu jenis gaya pembelajaran mempunyai 5 item. Pernyataan dalam bahagian B yang disusun mengikut jenis-jenis gaya pembelajaran Felder dan Silverman seperti yang ditunjukkan dalam jadual 2 berikut.

Jadual 2 Pembahagian Item Mengikut Jenis Gaya Pembelajaran Felder dan Silverman.

Item Jenis Gaya Pembelajaran
1, 2, 3, 4, 5 Aktif
6, 7, 8, 9, 10 Reflektif
11, 12, 13,14,15 Sensori
16, 17, 18, 19, 20 Intuisi
21, 22, 23, 24, 25 Visual
26, 27, 28, 29, 30 Verbal
31, 32, 33, 34, 35 Sequential
36, 37, 38, 39, 40 Global

Skala Binari digunakan untuk jawaban kepada setiap pernyataan. Pilihan jawaban adalah kepada skala “ya” “kadang-kadang” dan “tidak” sahaja. Ini untuk memudahkan sampel memberikan jawaban yang jelas serta mudah mengelaskan bentuk gaya pembelajarannya kepada jenis-jenis gaya pembelajaran mengikut model Felder dan Silverman (1988). Skor untuk skala tersebut adalah seperti berikut;

Jadual 3 :Jadual Skor

Skala Skor
Ya 1
Kadang-kadang 2
Tidak 3

Kesahan dan kebolehpercayaan
Index of Learning Styles merupakan instrumen yang digunakan oleh Felder dan Silverman untuk mengenal pasti gaya pembelajaran seseorang pelajar. Walau bagaimana, kandungan dan bentuk borang soal selidik ini diubah suai mengikut konteks budaya negara ini.

Prosedur menganalisis data
Statistik yang digunakan untuk menganalisis data yang diperolehi adalah statistik deskriftif dan inferens berbantukan perisian SPSS versi 14.0. Analisis deskriftif digunakan untuk menerangkan jenis-jenis gaya pembelajaran yang diamalkan oleh guru pelatih PISMP di Institut Peguruan Kent.
Jumlah keseluruhan min dalam lima item (contohnya item 1, 2, 3, 4 dan 5) akan digunakan untuk mengelaskan jenis gaya pembelajaran responden mengikut skala min berikut.


Jadual 3 Skala Min gaya pembelajaran responden

Skala Min Deskripsi
1.00 – 1.66 Mempunyai gaya pembelajaran (sama ada aktif, reflektif, sensori, intuisi, visual, verbal, sequential dan global)
1.67 – 2.33
Cenderung kepada gaya pembelajaran tertentu
2.34 – 3.00 Tidak mempunyai gaya pembelajaran (sama ada aktif, reflektif, sensori, intuisi, visual, verbal, sequential dan global)



DAPATAN KAJIAN

Taburan Responden Mengikut Jantina
Jadual 4 adalah taburan responden keseluruhan mengikut jantina. Jumlah responden antara lelaki dan perempuan adalah sama. Jumlah keseluruhan responden adalah seramai 38 orang.

Jadual 4 Taburan Frekuensi dan Peratus Responden Mengikut Jantina (n=38)

Jantina Frekuensi Peratus
Lelaki 19 50%
Perempuan 19 50%
Jumlah 38 100%


Gaya Pembelajaran Responden Secara Keseluruhan
Jadual 5 menunjukkan Min dan sisihan piawai gaya pembelajaran responden secara keseluruhan. Min gaya pembelajaran reflektif adalah min yang paling hampir kepada skor 1. Ini menunjukkan gaya pembelajaran reflektif sangat jelas diamalkan oleh responden secara keseluruhan sementara gaya pembelajaran intuisi adalah min gaya pembelajaran yang paling jauh dari skor 1. Ini menunjukkan gaya pembelajaran intuisi tidak diamalkan oleh sebahagian besar responden.




Jadual 5 Gaya Pembelajaran Responden secara keseluruhan Mengikut Min dan Sisihan Piawai(n=38)

Gaya Pembelajaran Min Sisihan Piawai
Gaya Pembelajaran Aktif (Item 1 – 5) 1.92 .410093
Gaya pembelajaran Reflektif(Item 6 -10) 1.24 .29289
Gaya Pembelajaran Sensori (Item 11-15) 1.50 .39614
Gaya Pembelajaran Intuisi (Item 16 – 20) 2.10 .40221
Gaya Pembelajaran Visual (21 -25) 1.62 .36514
Gaya Pembelajaran Verbal (26-30) 1.92 .47168
Gaya Pembelajaran sequential (31-35) 1.32 .33780
Gaya Pembelajaran global(Item 36 – 40) 1.63 .36195

Secara keseluruhan, responden memiliki gaya pembelajaran Reflektif(1.24), Sequential(1.32), Sensori(1.50), Visual(1.62) dan global(1.63). Responden secara keseluruhan juga berkecenderungan untuk memiliki gaya pembelajaran Aktif(1.92) dan Verbal(1.92).

Gaya Pembelajaran Responden Lelaki
Jadual 6 menunjukkan min dan sisihan piawai responden lelaki. Min gaya pembelajaran reflektif menunjukkan min yang paling hampir kepada skor 1. Min gaya pembelajaran verbal pula menunjukkan min yang paling jauh daripada skor 1. Ini menunjukkan gaya pembelajaran reflektif sangat jelas ditunjukkan oleh responden lelaki. Gaya pembelajaran verbal pula tidak jelas ditunjukkan oleh sebahagian besar responden.

Jadual 6 Gaya Pembelajaran Responden lelaki secara keseluruhan Mengikut Min dan Sisihan Piawai(N=19)

Gaya Pembelajaran Min Sisihan Piawai
Gaya Pembelajaran Aktif (Item 1 – 5) 1.96 .41769
Gaya pembelajaran Reflektif(Item 6 -10) 1.26 .30958
Gaya Pembelajaran Sensori (Item 11-15) 1.48 .42271
Gaya Pembelajaran Intuisi (Item 16 – 20) 2.06 .46490
Gaya Pembelajaran Visual (Item 21 -25) 1.67 .40373
Gaya Pembelajaran Verbal (Item 26-30) 2.09 .46969
Gaya Pembelajaran sequential (Item 31-35) 1.40 .36946
Gaya Pembelajaran global(Item 36 – 40) 1.69 .37265

Berdasarkan Jadual 6, dapatan menunjukkan responden lelaki memiliki gaya pembelajaran Reflektif(1.26), Sensori(1.48) dan Sequential(1.40). Responden lelaki juga berkecenderungan untuk mempunyai gaya pembelajaran visual(1.67), global(1.69) dan Aktif(1.96).

Gaya Pembelajaran Pelajar Mengikut Responden Perempuan
Jadual 7 menunjukkan min dan sisihan piawai gaya pembelajaran responden guru pelatih perempuan. Min gaya pembelajaran gaya pembelajaran reflektif yang paling hamper kepada skala skor 1 sementara gaya pembelajaran intuisi adalah min gaya pembelajaran yang paling jauh dari skor 1. Ini menunjukkan gaya pembelajaran reflektif sangat jelas diamalkan oleh sebahagian besar responden perempuan.

Jadual 7 Gaya Pembelajaran Responden Perempuan Mengikut Frekuensi dan Peratus(n=19)

Gaya Pembelajaran Min Sisihan Piawai
Gaya Pembelajaran Aktif (Item 1 – 5) 1.89 .40679
Gaya pembelajaran Reflektif(Item 6 -10) 1.23 .28278
Gaya Pembelajaran Sensori (Item 11-15) 1.52 .37962
Gaya Pembelajaran Intuisi (Item 16 – 20) 2.13 .35531
Gaya Pembelajaran Visual (Item 21 -25) 1.59 .33633
Gaya Pembelajaran Verbal (Item 26-30) 1.81 .44176
Gaya Pembelajaran sequential (Item 31-35) 1.27 .30701
Gaya Pembelajaran global(Item 36 – 40) 1.59 .35129

Berdasarkan jadual 7, dapatan menunjukkan responden perempuan memiliki gaya pembelajaran Reflektif(1.23), Sequential(1.27), Sensori(1.52), global(1.59) dan visual(1.59). Responden perempuan juga berkecenderungan memiliki gaya pengajaran verbal(1.81) dan aktif(1.89).

PERBINCANGAN , RUMUSAN DAN CADANGAN

Perbincangan
Dapatan kajian menunjukkan terdapat beberapa jenis gaya pembelajaran di kalangan guru pelatih PISMP-KPM di Institut Perguruan Kent, Tuaran. Secara keseluruhan, guru pelatih PISMP Institusi Perguruan Kent mengamalkan pelbagai gaya pembelajaran. Antara gaya pembelajaran tersebut adalah Sequential, Reflektif, Sensori dan visual. Kajian juga menunjukkan terdapat perbezaan gaya pembelajaran mengikut jantina kerana kajian menunjukkan responden lelaki hanya memiliki gaya pembelajaran reflektif, sensori dan sequential sementara guru pelatih PISMP perempuan memiliki gaya pembelajaran Reflektif, Sequential, Sensori, global dan visual.
Kajian ini juga menunjukkan guru pelatih PISMP di IP Kent Tuaran sebahagian besarnya memiliki gaya pembelajaran Reflektif. Felder, R.M dan Brent, R., (2005) merujuk gaya pembelajaran reflektif kepada soalan ‘ How does the student prefer to process information?Ini menjelaskan guru pelatih PISMP memproses maklumat dengan cara memikirkan semua perkara secara bersendirian. Pelajar ini suka juga berfikir dahulu sebelum bertindak (Felder,R.M dan Solomon, 2000).
Selain itu, guru pelatih secara keseluruhan juga memahami satu-satu situasi melalui langkah demi langkah yang logik dan sistematik(Gaya pembelajaran sequential). Pelajar sequential adalah pelajar yang memahami dunia dan situasi melalui langkah demi langkah yang logik dan sistematik (Felder, R.M dan Brent, R., 2005). Guru pelatih suka memproses maklumat dengan konkrit, praktikal dan berorientasikan prosedur(Gaya pembelajaran sensori). Dapatan juga menunjukkan terdapat guru pelatih yang suka penerangan pensyarah yang menyertakan bahan-bahan bergambar(Gaya Pembelajaran Visual). Sebilangan kecil guru pelatih pula suka mendapatkan gambaran umum sebelum mendapatkan maklumat yang lebih terperinci dalam pembelajaran mereka.(Gaya pembelajaran global).

Jenis-jenis Gaya Pembelajaran Guru pelatih Mengikut Jantina

Kajian mendapati guru pelatih Perempuan memiliki gaya pembelajaran Reflektif, Sequential, Sensori, global dan visual sementara guru pelatih lelaki memiliki gaya pembelajaran Reflektif, Sensori dan Sequential. Secara keseluruhan, guru pelatih perempuan mengamalkan gaya pembelajaran yang sama setiap kali belajar atau dalam usaha memperolehi maklumat. Sebagai contohnya, guru pelatih perempuan gemar menerima maklumat yang disertai bahan-bahan bergambar sementara guru pelatih lelaki lebih bersikap terbuka dengan sebahagian besarnya kadang-kadang boleh menerima maklumat yang disertai dengan bahan-bahan bergambar. Selain itu, guru pelatih perempuan juga biasanya menerima maklumat umum sebelum memperincikannya sebaliknya guru pelatih lelaki kurang mengaplikasikan gaya belajar seperti ini. Ini kerana guru pelatih lelaki mencuba pelbagai gaya pembelajaran dan tidak menetapkan satu-satu cara untuk belajar sepertimana guru pelatih wanita.
Nazamud-din(2005) menjelaskan tiada gaya pembelajaran yang buruk dan baik. Ini bermakna perkara yang lebih penting sebenarnya adalah bagaimana gaya pembelajaran tersebut menjadikan pelajar atau guru pelatih lebih mudah memperolehi, menafsir dan mengolah kembali maklumat yang diperolehi. Kejayaan bukannya bergantung kepada jenis gaya pembelajaran yang digunakan tetapi yang jelas bagaimana individu itu sendiri menggunakan gaya pembelajaran itu untuk mendapatkan maklumat. Walaubagaimanapun, jika gaya pembelajaran tersebut diadaptasikan dengan gaya pengajaran pensyarah, hasilnya lebih baik kerana guru pelatih lebih mudah memperolehi maklumat apabila gaya pengajaran pensyarah sesuai dengan gaya pembelajaran guru pelatih. Persoalan yang timbul kemudiannya adalah, bagaimana pensyarah boleh menyesuaikan gaya pengajarannya jika dalam sebuah kelas terdapat pelatih atau pelajar yang mempunyai pelbagai gaya pembelajaran?

Implikasi dan Cadangan

Hasil dapatan kajian boleh dimanfaatkan sepenuhnya oleh golongan pensyarah di Institut Pendidikan Guru bukan sahaja di Intitut Perguruan Kent, malah di Institut perguruan lain untuk merancang gaya pengajarannya bagi memenuhi kehendak gaya pembelajaran guru pelatih. Salah satu implikasi jangka panjang daripada dapatan kajian adalah kemungkinan-kemungkinan berlakunya peningkatan kualiti yang lebih baik di kalangan guru pelatih apabila pensyarah dapat memahami gaya pembelajaran guru pelatih tersebut. Untuk kajian akan datang, satu kajian tentang bagaimana pengadaptasian gaya pembelajaran guru pelatih dengan gaya pengajaran pensyarah perlu dilakukan untuk menentukan kaedah yang lebih baik untuk meneruskan kecemerlangan kurikulum guru pelatih.






















BIBLIOGRAFI
Abdul Aziz bin Hussien Sazally .1999. Teori ‘Multiple Intelligences’ (Pelbagai Kepintaran) Howard Gardner. Sungai Petani: Institut Tabdiran Awam.

Abdul Rahim M. Ali .2001. Ilmu Pendidikan untuk KPLI. Kuala Lumpur: Utusan Publication & Distributors.

Atan Long .1988. Psikologi Pendidikan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Pustaka

Brown,R.D, Hallet, M.E, & Stoltz, R.R .1992. ”Student Learning Styles in Landscape Architecture Education”. Journal of Learning and Teaching Landscape architecture.University of Guelph.13(4):429-438

Busato,V.V, Rins, F.J., Elshout,J.J & Hamaker,C., 2000. ”Intellectual Ability, Learning Style, Personality, Achievement Motivation and Academic Success of Psychology Students in Higher Education”. Journal of Personality and Individual Differences. 29(6):1057-1068

Charlesworth,Z. .1999. The Influence on Learning Styles. Glion Institute of Higher Education.

Cross,N. .1985. ”Styles of Learning, Designing and Computing”. Journal of Design Studies.Faculty of Technology. 6 (3) : 157-162.

Dewan Parlimen. Rang Undang-undang Pendidikan(Pindaan) 2008, 19 Ogos 2008.

Dewan Parlimen, Rang Undang-undang Pendidikan(Pindaan) 2008, 25 Ogos 2008.

Dunn,R., Beaudry,J. & Klavas., A., .1989. “Survey of Research on Learning Styles.” Educational Leadership, 46(6) : 53-58.

Dunn, R .1997. ”The Goals and Track Record of Multicultural Education.” Education Leadership: 54(7) : 74-75

Dunn, R.S & Dunn, K.J .1978. Teaching Elementary Students Through Their Individual Learning Style: A Practical Approach. New Jersey: Prentice Hall

Entwistle, N. .1981. Styles of Learning and Teaching: An Integrated Outline of Educational Psychology For Students, Teachers and Lecturers. New York .

Edward de Bono .1990. Pelajaran Berfikir de Bono. Jakarta: Penerbitan Erlangga

Felder, R.M. & Spurlin, J.E .2005. “Applications, Realiability and Validaty of the Index of Learning Styles.” Journal of Engineering Education, 21(1) : 103-112

Felder,R.M & Brent,R. .2005. “Understanding Student Differences.” Journal of Engineering Education: 94(1)

Felder, R.M. .2002. ” Learning and Teaching Styles in Engineering Education.” Journal of Engineering Education. 78(7)

Felder,R.M, Felder, G.N & Dietz. .2002. “The Effects of Personality Type on Engineering Student Performance and Attitudes.” Journal of Engineering Education. 91(1)

Felder, R.M. .1996. ”Matters of Style.” ASEE Prism 6(4)

Furham, A. .1992. ”Personality and Learning Style. A Study of Three Intruments”.Journal of Personality and Individual Differences. University College London

Furham, A., Jackson, C.J & Miller,T .1999. “Personality, Learning Style and Work Performance. ”Journal of Personality and Individual differences. University College London. 27(6) : 1113-1122

Fox, J. & Bartholomac, S .1999. ”Student Learning Style and Educational Outcomes. Evidence From a Family Financial Management Course”. Journal of Financial Services Review. Ohio State of University. 8 (4):235-251

Gregorc, A.F .1979. Learning and Teaching Styles: Potent Forces Behind Them. Educational Leadership, Vol 36, 234-36

Hartman, V.F .1995. “Teaching and Learning Style Preferences: Transitions Through Technology.” VCCA Journal 9, no 2: 18-20

Healy, M & Jenkin, A. .2000. ”Kolb’s Experiental Learning Theory and Its Application in Geography in Higher Education.” Journal of Geography,99.

Heide, H. .2002. Comparative Analysis of the Learning Styles of German Versus Other Adolescents from Diverse Nations by Age, Gender and Academic Achievement Level. Dissertations Project: St John’s University, School of Education and Human Services.

Honey & Mumford .1986. The Manual of Learning Style, 2nd Eds. Maidenhead

Honigsfeld, A.M. .2001. A Comparative Analysis of the Learning Styles of Adolescents from Diverse Nations by Age, Gender, Academic Achievement Level and Nationality. Dissertations Project: St John’s University, School of Education and Human Services.

Jarvis, P. .1995. Adult and Continiung Education. Theory and Practice 2e. London : Routledge.

Khalid Johari .1999. ”Hubungan antara Gaya Pembelajaran di Kalangan Pelajar Institusi Pengajian Tinggi di Sabah dengan Jantina, Umur dan Latar belakang Pekerjaan”.Jurnal Kinabalu V:83-99.

Klavas,A. et.all .1994. ” Factors That Facilitated or Impeded Implementation of the Dunn and Dunn Learning Style Model.” Illinois School Research and Development Journal. 31(1)

Kolb, D.A .1984. Experiential Learning: Experience as the Source of Learning and Development Englewood Cliffs. NJ: Prentice Hall

Litzenger, Ellen, M & Osif, B. .1993. Accommodating Diverse Learning Style. Designing Instruction for Electronic Information Sourses. In What is Good Instruction Now? Library Instruction for the 90s.ed.Linda Shirato. Ann Arbor.MI. Pierian Press.

Lynch, T.G., Woelfl, N.N, Steele, D.J., & Etanssen, C.S,. .1998. ”Learning Styles Influences Student Examination Performances”.The American Journal of Surgery.176(1):62-66

Loo,R. .1997. Confirmation Factor Analysis of Kolb’s Learning Style Inventory. British Journal of Educational Psycology. 69

McCaulley, M.H (1990). The MBTI and Individual Pathways in Engineering Design. Engr. Education 80: 537-542

Moeljadi Pranata .1999. Menyoal Ketidakcocoktidakan Gaya Pembelajaran Desain (atas talian) http://Publit.Petra.ac.id/journals/design/ Dicetak 31 Julai 2008.

Mang, C.K .1999. Satu Kajian Tentang Pendekatan Pembelajaran Di kalangan Pelajar-pelajar Ekonomi di Universiti Sains Malaysia. Artikel Tidak Diterbitkan.

Myers, J. .1999. Your Learning Styles (Atas Talian) http://www. Inspiredleadership.com. Dicetak pada 31 Jun 2008.

Mayer, R.E dan Massa, L.J .2003. Three Facets of Visual and Verbal Learners: Cognitive Ability, Cognitive Style and Learning Preference: Journal of Education Psychology.Vol 95(4)

Nulty, D.D., & Barret, M.A. .1996. “Transitions in Students learning Styles. “ Studies In Higher Education 21(3)

Nazamud-din Bin Alias. 2005. Gaya Pembelajaran Guru Pelatih Kursus Pengajian Lepasan Ijazah Maktab Perguruan Batu Lintang.Jurnal Penyelidikan MPBL. Jilid 6.

Pembangunan Profesionalisme Keguruan, KPM. 2006. Buku Panduan Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan Dengan Kepujian Sesi 2007/2008. Institut Pendidikan Guru Malaysia, Bahagian Pendidikan Guru.
Pask, G. dan Scott, B. .1999. ”Learning Strategies and Individual Compentence.” Int F. Man-mach. Stnd vol 4 (31972)

Pask, G .1976. Styles and Strategies of Learning. British Journal of Learning Psychology 40: 128-149

Quellete, R. .2000. Learning Styles in Adult Education. University of Maryland

Riding, R & Rayner, S. 1999. Cognitive Styles and Learning Strategies. Understanding Style Differences in Learning and Behavior. London : David Fulton Publishers.

Riding, R & Sadler Smith, E .1992. Type of Instructional Material, Cognitive Style and Learning Performance. Educational Studies. Vol 18, No 3 : 323-329

Rusli Ahmad.1999. Gaya Pembelajaran dan Faktor-faktor yang Mempengaruhinya.Satu Kajian Kes. Kertas Kajian Fakulti Sains Kognitif dan Pembangunan Manusia: Universiti Malaysia Sarawak.

Smith, E.S .2001. “The Relationship Between Learning Style and Cognitive Style”. Journal of Personality and Individual differences . 30 (4) : 609-616

Shaw,G.& Nigel, M., .1999. ”The Role of Student Learning Style, Gender, Attitudes and Perceptions on Information and Communication Technology Assisted Learning”. Journal of Computers and Education. California College of Pediatric Medicine San Francisco. 33 (4) 223-234

Slavin, R.E. .2002. A model of Effective Instruction. Educational Research and Improvement (Atas talian) http://www. Successforall.net/ resource/ research/ modeleffect. htm

Shahabuddin Hashim dan Rohizani Yaakub. 2003. Psikologi Pembelajaran dan Personaliti. Pahang : Pts Publications & Distributors Sdn. Bhd.

Stice, J.E (1987).” Using Kolb’s Learning Cycle to improve Student Learning.” Journal of Engineering Education. 77(5)

Tennat, M .1997. Psychology and Adult Learning 2e, London : Routledge.

Mariam Bt Che Latt.et.al. 1998. Gaya Pembelajaran Guru Pelatih Pengajian Melayu Dalam Pembelajaran Tatabahasa Bahasa Melayu Fokus Ayat Pasif. Jurnal Pendidikan TIGANEF. Jilid 2.

Wan Zah Wan Ali .2000. Memahami Pembelajaran. Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd.





No comments:

Post a Comment